Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) telah wujud
semenjak 14 Oktober 1969. Pada peringkat awal
penubuhannya, pejabat ini telah diletakkan di
bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar
Bandar (KPNLB). Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB)
dilancarkan pada tahun 1970, sebuah unit telah
ditubuhkan pada tahun 1971 yang dikenali sebagai
Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Penilaian
(Implementation,Coordination and Evaluation Unit
– ICEU). Pejabat Kemajuan Negeri (PKN)
diletakkan di bawah Unit ini.
Pada tahun 1972, ICEU telah digabungkan
dengan Unit Kemajuan Pentadbiran (Development
Administration Unit – DAU) dan dikenali sebagai
Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Kemajuan
Pentadbiran (Implementation, Coordination and
Development Administration Unit – ICDAU).
Apabila urusan kemajuan pentadbiran dipindahkan
ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit ini
dikenali sebagai Bahagian Penyelarasan
Pelaksanaan dan kemudian ditukar kepada Unit
Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) di bawah Jabatan
Perdana Menteri. Dengan pelancaran DEB pada
tahun 1970, Kerajaan telah menubuhan Majlis
Tindakan Negara (MTN) di peringkat Persekutuan.
Strategi serampang dua mata DEB ialah untuk
membasmi kemiskinan dan menyusun semula
masyarakat. Peranan utama MTN ialah untuk
mengesan, menyelaras dan memastikan
program-program dan projek-projek pembangunan
yang dirancang, dilaksanakan dengan sempurna dan
berjalan lancar berdasarkan Arahan No. 1 Tahun
1971.
Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah
dilancarkan pada tahun 1991 menggantikan DEB.
Arahan No. 1 Tahun 1991, Jentera Penyelarasan
Pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional telah
dikeluarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri bagi
menggantikan Arahan No. 1 Tahun 1971. Matlamat
utamanya ialah untuk mewujudkan jentera
penyelarasan pelaksanaan, pengesanan dan
pengawasan bagi menentukan pelaksanaan rancangan
di bawah DPN selepas 1991 dapat dicapai. Arahan
ini telah sekali lagi dipinda pada tahun 1996
dengan keluarnya Arahan No. 1 1996. Arahan ini
menerangkan mengenai mekanisme jentera
pelaksanaan DPN. Pada tahun 2001, Arahan ini
telah dipinda selaras dengan Dasar Wawasan
Negara dan dikeluarkan sebagai Arahan No.1, 2001, Majlis Tindakan Negara selaras dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE), Arahan No. 1 2001 telah dipinda menjadi Arahan No. 1 2010, Majlis Tindakan Negara, bertujuan memantapkan jentera penyelarasan dasar dan program/projek pembangunan negara bagi merealisasikan matlamat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Pengesanan rancangan pembangunan negara
diteruskan dengan menggunakan sistem komputer
yang lebih canggih di Bilik Gerakan Negara
(BGN). Bilik tersebut berkonsepkan bilik operasi
perang bagi meneruskan matlamat DEB melalui DPN
bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula
masyarakat. UPP terus diberi peranan oleh
Kerajaan untuk melaksanakan tugas ini. Tugas
utama UPP ialah untuk menentukan sistem
penyampaian (Delivery System) dasar, program dan
projek yang telah dirancang berjalan secara
cekap dan berkesan supaya faedahnya dapat
dinikmati oleh masyarakat untuk mencapai
matlamat pembangunan nasional.
Pada 1 Jun 1999 dengan rasminya UPP telah
beroperasi di kompleks Pejabat Perdana Menteri
di Putrajaya iaitu Pusat Pentadbiran Persekutuan
yang baru. UPP merupakan salah satu jabatan
kerajaan yang pertama berpindah di Putrajaya.
Perpindahan ini juga merupakan satu pendekatan
kepada perlaksanaan Kerajaan Elektronik dan
seterusnya menjadi pemangkin kepada kejayaan
projek Multimedia Supercorridor.
|